Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang mahu semua Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong secara membuta tuli pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat diibarat beri risiko tinggi kepada Sarawak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata tindakan Chong Chieng Jen itu disifatkan sebagai pemimpin yang berisiko tinggi kepada Sarawak di mana tindakannya itu tidak menunjukkan keikhlasan yang sepatutnya.

"Bagaimana kami (pemimpin GPS) mahu bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Stampin itu supaya menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan tanpa melihat isi kandungan pindaan yang dicadangkan itu langsung tidak diketahui.

“Malah, sehingga hari ini perkara itu tidak pernah dibawa berbincang bersama dengan Ahli Parlimen GPS mahupun Ketua Menteri Sarawak," katanya bagi mengulas desakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang mahu Ahli Parlimen GPS menyokong Rang Undang-Undang (RUU) itu.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata Chong bukan sahaja gagal menjelaskan kepada Ahli Parlimen GPS dan rakyat berkenaan kandungan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu, tetapi juga jelas mempertaruhkan kepentingan Sarawak sekiranya pindaan RUU itu tidak memihak kepada Sarawak.

"Bagaimana jika pindaan RUU itu tidak menepati kehendak rakyat Sarawak seperti yang pernah disuarakan Ketua Menteri Sarawak?

"Nampaknya, dalam hal ini Chong jelas terlalu mengikut kehendak 'bos' mereka di Semenanjung yang cuba menyembunyikan perkara yang sebenar.

"Jika benar Chong dan Kerajaan PH ikhlas dalam mengembalikan hak Sarawak dan Sabah sebagai rakan karib Semenanjung atau dalam bahasa mudah 'wilayah', kenapa sukar sangat hendak mengadakan perbincangan atau menjelaskan kandungan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan," jelasnya.

Dalam hal ini, GPS tidak akan termakan dengan desakan Chong dan Kerajaan PH dalam menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan secara sembarono kerana ia melibatkan hak dan kepentingan Sarawak yang perlu diutamakan.

"GPS serius untuk mendapatkan kembali hak rakyat Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

"Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan GPS untuk memastikan setiap langkah dan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 ini ditangani secara berhati-hati dan bijaksana," tambahnya.

Baru-baru ini, Chong dalam sidang medianya mendesak Ketua Menteri Sarawak dan semua Ahli Parlimen GPS menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau meminta mereka ini tidak memberi banyak alasan dengan perlu melihat perkataan, isi kandungan dan manfaat yang wujud daripada perkara itu.