PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertikaikan kenyataan pembukaan yang dibaca Peguam Negara, Tommy Thomas ketika perbicaraan hari pertama kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Muhammad Shafee berkata, kenyataan itu tidak mengikut Seksyen 179 Kanun Prosedur Jenayah berikutan kesemua pertuduhan tidak dinyatakan secara jelas.
Katanya, sebagai orang yang dituduh, Najib mempunyai hak untuk mengetahui serta mengesahkan pertuduhan apa yang dikenakan terhadap dirinya.
“Namun, dalam kenyataan pembukaan dibaca peguam negara menerusi bahagian pertama, ia hanya menyebut bahawa anak guam kami menghadapi pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan penyelewengan wang.
“Ia sepatutnya disebut secara berasingan, namun dalam kenyataan pembukaan oleh peguam negara ia dirangkumkan secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Shafee berkata, susulan itu perbicaraan dihadapi Najib hari ini adalah sia-sia serta membazirkan masa.
Katanya, mereka juga menerima rungutan mengenai kenyataan pembukaan peguam negara itu yang rumit serta tidak boleh diterima.
“Malah, dalam bahagian kedua kenyataan pembukaan itu, ia kosong tanpa asas lebih berbaur politik.
“Jadi, perbicaraan hari ini tidak membawa apa-apa perubahan dan kami percaya akan menangi kes ini,” katanya.
Menurut Muhammad Shafee, esok pasukannya akan mengemukakan permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
“Sehingga akhir perbicaraan hari ini, pihak pendakwaan gagal memahami apa yang kami kehendaki dan maksudkan,” katanya.
Bercakap kepada media, ketua pasukan peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menafikan ada percubaan dari pihaknya menangguhkan perbicaraan bekas Perdana Menteri itu.
Sebaliknya, jelas beliau lagi, pihak peguam bela sendiri bertegas agar perbicaraan itu diteruskan pada tarikh yang ditetapkan.
“Pertama sekali, tiada cubaan untuk tangguhkan perbicaraan. Apa yang kami lakukan hari ini, ialah apa yang akan dilakukan sesiapa sahaja sekiranya pertuduhan ke atas mereka tidak sempurna.
“Dan jika anda ingin mengadu tentang sebarang pertuduhan yang anda rasa cacat, ia harus dilakukan sebelum perbicaraan bermula,” jelasnya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas perbicaraan berakhir.
Muhammad Shafee berkata, atas sebab itu, usul bagi membantah pertuduhan tersebut difailkan sebelum perbicaraan bermula.
Beliau menegaskan, pihak peguam bela tidak mengambil peduli pendapat Peguam Negara sewaktu membantah permohonan pemfailan itu, kerana ia tidak relevan.
“Dua Mahkamah Rayuan berasingan sebelum ini telah menegaskan pihak peguam bela tidak melakukan cubaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan,” katanya lagi.
LIHAT video: https://youtu.be/9g5oLmnm8RI
.....
Rujukan:
http://pakdin.my/tag/muhammad-shafee
http://pakdin.my/tag/src-international
0 Comments