Kementerian Kerja Raya (KKR) tetap enggan meneruskan pelaksanaan projek Jambatan Batang Igan di bawah peruntukan Pusat sebaliknya menyerahkan pelaksanaannya kepada kerajaan negeri.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata cadangan projek Jambatan Batang Igan di Bahagian Mukah terletak di laluan pesisir pantai negeri Sarawak dan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Justeru kata Baru, KKR mengambil maklum bahawa pelaksanaan projek berkenaan perlu diteruskan dengan peruntukan kerajaan negeri.

Sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk membiayai sepenuhnya pembinaan Jambatan Igan bernilai RM305 juta selain Jambatan Rambungan bernilai RM100 juta dan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion dibiayai secara 50-50 antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun sebaik menang PRU-14 Kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja mengambil keputusan tidak meneruskan projek tiga jambatan di Sarawak itu yang sepatutnya dilaksana di bawah KKR, malah bajet untuk penyelenggaraan jalan di Sarawak juga telah dikurangkan. Lebih menyedihkan peruntukan keseluruhan KKR untuk Sarawak juga telah dipotong.

Baru Bian tidak seharusnya menggunakan alasan hutang RM1 trilion untuk menafikan hak Sarawak apa lagi pada masa sama peruntukan demi peruntukan diumumkan untuk projek-projek besar di Semenanjung termasuk di Kedah.

Sementara itu, Ahmad Johnie berasa amat dukacita dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kerja Raya yang berasal dari Sarawak itu yang sepatutnya memperjuangkan keperluan infra untuk Sarawak, bukannya mengambil keputusan yang langsung tidak memihak kepada Sarawak.

Beliau berkata, sepatutnya Kerajaan Pakatan Harapan meneruskan perlaksanaan projek ini kerana keperluannya amat mendesak khususnya dari segi impak ke atas sosio ekonomi penduduk di kawasan  Parlimen Igan.

“Kerajaan Persekutuan sebelumnya telah melulus RM305 juta untuk projek ini. Kerajaan Pakatan Harapan yang sentiasa melaungkan hasrat untuk mengimbangi jurang pembangunan di antara luar bandar dan bandar sepatutnya meneruskan projek Jambatan Batang Igan ini.

“Sebab itulah setiap kali berbahas di Dewan Rakyat saya sebagai Ahli Parlimen Igan sering membangkitkan isu ini kerana saya amat prihatin akan kesejahteraan hidup rakyat di luar bandar dalam konteks menaikkan taraf ekonomi rakyat,” katanya.