KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan supaya pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang di pengerusikan dimuktamadkan.

Ketua Whip Ahli Parlimen GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya YB Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sidang medianya berkata persoalan pokok berhubungkait dengan hak-hak dan keistimewaan yang dituntut Sarawak termasuk hak-hak Sarawak yang terhakis sebelum tidak dimasukkan di dalam cadangan pindaan berkenaan.

• Perkara 160 mentakrifkan 'persekutuan' dengan merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, yang hanya melibatkan Semenanjung

• Bilangan Ahli Parlimen, wakil-wakil rakyat dan senator-senator serta ahli Jemaah Menteri Persekutuan, disemak semula bagi mencerminkan perkongsian sama taraf.

"Pindaan ini mesti merangkumi semangat dan roh yang terkandung dalam MA63 yang dibaca bersama dengan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.

"Sarawak juga tetap dengan pendirian bahawa sebarang pindaan perlu dibawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat," katanya.

Beliau bersama beberapa Ahli Parlimen Sarawak dan beberapa pemimpin lain telah bersama mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara ini.

Rang undang-undang bagi meminda perkara itu telah dibacakan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Keong di Dewan Rakyat, hari ini.

"Pindaan berkenaan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambil kira pandangan semua pihak atau pemegang taruh yang terbabit di peringkat Persekutuan, Sarawak dan Sabah," jelasnya

Tegas Datuk Seri Fadillah Yusof, cadangan pindaan yang dilakukan itu hanyalah bersifat kosmetik atau 'windows fressing' semata-mata dan ia langsung tidak memenuhi aspirasi serta hasrat sebenar rakyat Sarawak.

"Kita berterimakasih dan menghargai usaha Kerajaan Pusat untuk membuat pindaan berkenaan, namun kita merasakan ia dibuat secara terburu-buru tanpa memberi peluang yang cukup kepada pemegang taruh serta semua yang terbabit untuk mengkaji dan membincangkan intipati pindaan yang dicadangkan, sebelum ianya dibentangkan di Parlimen," tegasnya.

Menurutnya lagi, pindaan itu perlu secara menyeluruh melibatkan hak-hak yang sepatutnya dikembalikan kepada Sarawak dan bukan setakat menukar status Sarawak sebagai rakan kongsi sahaja.

"Penukaran status sahaja tanpa hak yang telah terhakis dikembalikan kepada Sarawak, tidak akan membawa sebarang makna kepada pindaan berkenaan dan apa yang diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan rakyat Sarawak selama ini," katanya.