Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan berjumpa dengan Kerajaan Sarawak akhir bulan ini bagi membincangkan cadangan pelaksanaan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum tanpa memberi kesan ke atas hasil Kerajaan Persekutuan.
“Sebenarnya, sebaik sahaja Kerajaan Sarawak melontarkan cadangan ini, satu perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan telah diadakan kerana cadangan itu akan memberi kesan secara langsung ke atas hasil petroleum oleh Petronas dan sumbangan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata dalam perbincangan peringkat awal, kerajaan negeri bersetuju perkara ini dibangkitkan dan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963.
Azmin berkata demikian semasa menjawab soalan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) mengenai impak cadangan ini kepada ekonomi Sarawak dan pendapatan Kerajaan Persekutuan.
Pada November 2018, Sarawak mengumumkan cadangan itu dalam usaha meningkat pendapatan negeri.  — BERNAMA