Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan menyaksikan 73.35 peratus daripada 53,411 pengundi berdaftar keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat baharu mereka.
Statistik itu sekali gus menjadikan PRK DUN Semenyih merekodkan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding yang dicatatkan di lima PRK sebelum ini dan melebihi sasaran awal sebanyak 70 peratus yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.
PRK DUN Sungai Kandis sebelum ini yang berlangsung pada Ogos 2018 hanya mencatatkan 49.4 peratus keluar mengundi manakala PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing merekodkan sebanyak 43 dan 44 peratus.
Bagi PRK Parlimen Port Dickson yang menyaksikan kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mencecah 58.3 peratus keluar mengundi sementara PRK Parlimen Cameron Highlands, Januari lalu menyaksikan 68.79 peratus keluar mengundi. - UTUSAN ONLINE