Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu meneliti keberkesanan hukuman sekarang yang disifatkan 'sangat longar', sekadar didenda RM2,000 atau RM3,000 sahaja.
Katanya, sedangkan mengikut undang-undang Islam, setiap pelaku yang menghina Nabi Muhammad boleh dikenakan hukuman bunuh.
"Saya fikir sudah sampai masa kerajaan perlu tingkatkan di segi kuatkuasakan undang-undang kerana yang sedia ada sangat longgar. Orang yang hina Nabi didenda RM2,000 ke RM3,000 dan ini sangat rendah.
"Kalau ikut Islam, penghinaan terhadap Rasulullah boleh dihukum bunuh. Jadi kita harap satu kajian semula dilakukan terhadap penghinaan pada agama. Ini (penghinaan) satu kesalahan serius yang boleh gugat kestabilan negara. Kita harap kerajaan dapat teliti perkara ini," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah umum di pekarangan Pasar Binjai Rendah dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir, EXCO kerajaan negeri yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd. Nor Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Semalam, ribuan umat Islam di seluruh negara tidak terkecuali di Terengganu mengadakan himpunan aman selepas solat Jumaat bagi membantah penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang semakin berleluasa kebelakangan ini.
Tuan Ibrahim sendiri turut menyertai himpunan yang diadakan di pekarangan Masjid Rhu Muda dekat sini semalam. - UTUSAN ONLINE