Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pencetus dan juga pemusnah Wawasan 2020, menurut Tun Musa Hitam.
Musa yang memegang jawatan timbalan perdana menteri dari tahun 1981
hingga 1986 berkata bekas ketuanya itu sendiri telah memadam impian itu
apabila memilih untuk menyingkirkan pemimpin berpotensi, sebaliknya
melatih pengikut-pengikut.
"Pengikut-pengikut itu akhirnya mengambil alih kepimpinan negara selepas beliau melepaskan jawatannya.
"Ironinya wawasan Dr Mahathir kini dilihat akan gagal kerana Dr Mahathir sendiri.
"Sebijak-bijak dirinya, beliau lupa bahawa untuk berjaya, beliau
perlu melatih pemimpin di semua peringkat, tetapi yang paling penting,
pemimpin politik.
"Rekod kepimpinan peribadi beliau menunjukkan bahawa beliau
menjauhkan semua pemimpin berpotensi dan mengekalkan serta melatih
pengikut! Sebahagian besar pengikut-pengikut yang dilatih telah
mengambil alih kepimpinan negara," kata Musa pada Sabtu.
Beliau berkata demikian pada satu majlis khas memperingati ulang tahun
ke-113 Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman, yang
dianjurkan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Musa berkata Malaysia berada dalam keadaan semasa kerana kegagalan
kepimpinan, sambil menambah pengikut-pengikut Dr Mahathir telah
dipersiapkan dalam tempoh 22 tahun pentadbiran beliau.
"Pengikut-pengikut terlatih ini berdedikasi dan setia kepada sesiapa
yang duduk di bahagian paling atas. Mereka perlu, untuk terus kekal.
"Bagi saya impian 2020 itu seolah-olah jatuh sedikit demi sedikit tetapi
dengan kadar kelajuan membimbangkan. Dengan apa yang berlaku, saya kini
yakin kita tidak akan mencapai matlamat Wawasan 2020," katanya.
Wawasan 2020 telah diperkenalkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1991,
sebagai satu matlamat bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju
menjelang 2020.
Matlamatnya itu juga menjadi matlamat utama penggantinya, termasuk Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dr Mahathir, pengkritik kuat Najib bagaimanapun mendakwa tahun lepas
bahawa pentadbiran sekarang tidak akan berjaya untuk mencapai Wawasan
2020.
0 Comments