![]() |
Sebahagian daripada kereta yang rosak selepas dirempuh sebuah lori di kawasan Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal |
NIBONG TEBAL: Sebanyak 22 kereta dan dua motosikal yang diparkir di bahu
jalan di kawasan Pasar Awam Taman Berjaya di sini, mengalami kerosakan
selepas dirempuh sebuah lori dipandu seorang lelaki, Ahad.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi tadi, pemandu lori berusia 30-an
terbabit dikatakan 'bertindak gila' merempuh kereta dan motosikal
tersebut selepas berang ekoran tidak dapat melalui jalan itu kerana
terhalang oleh kenderaan berkenaan.
Seorang pemilik kereta dikenali sebagai Lam, 37, berkata orang ramai
menjerit dan meminta pemandu lori berkenaan berhenti apabila melihat
kejadian itu, namun tidak dihiraukannya.
Lam berkata dia dan isteri sedang membeli barang keperluan di pasar
tersebut sebelum terdengar bunyi bising dan bergegas ke tepi jalan untuk
melihat apa yang berlaku.
"Kami semua menjerit ke arah pemandu lori itu agar berhenti tetapi dia
terus memandu laju dan merempuh kenderaan di situ termasuk kereta Proton
Wira saya yang turut rosak akibat kejadian berkenaan.
"Hampir setiap hari jika ke pasar ini, saya dan pemilik kereta lain akan
meletak kenderaan kami di bahu jalan ini," katanya di sini Ahad.
Seorang lagi pemilik kereta, Poo Sim, 34, berkata semasa kejadian dia
dan anak perempuannya berusia lapan tahun, baru sahaja keluar dari
kenderaan mereka dan sedang berjalan di bahu jalan berkenaan.
"Nasib baik kami sudah keluar dari kereta, kalau tidak mungkin saya dan
anak cedera kerana Perodua Myvi saya turut dirempuh dan rosak di
bahagian belakang termasuk pecah cermin belakang," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan
Hassan Wan Ahmad berkata polis sedang menyiasat kejadian itu dan
mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati lori itu didaftar atas nama sebuah syarikat
beralamat di George Town dan kami sedang mengesan pemilik syarikat serta
pemandu kenderaan itu," katanya.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya menerima tujuh laporan daripada
pemilik kereta yang mengalami kerosakan teruk akibat dirempuh lori
berkenaan.
0 Comments