Seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan mula mengundi esok di dua pusat pengundian awal.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah itu, 74 orang adalah anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.
“Baki seramai lapan orang pengundi yang terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada 12 tengah hari.
Azhar Azizan berkata semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari mengundi Sabtu ini di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.
“Ia akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang telah dilantik oleh SPR selain disiarkan secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Ia diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau selama tiga penggal sejak 2004, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.
— BERNAMA
0 Comments