Populariti UMNO dilihat semakin menyerlah apabila ramai orang khususnya golongan muda menunjukkan minat untuk mendaftar sebagai ahli parti itu.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ramai anak muda yang bertanya kepada mereka cara untuk mendaftar sebagai ahli parti tersebut memandangkan permohonan keahlian secara dalam talian dinyahaktifkan buat seketika sebelum ini.
“Mereka tanya lokasi untuk mendapatkan borang pendaftaran dan saya suruh pergi ke cawangan parti berdekatan. Bagaimanapun mereka tidak tahu pula cawangan berdekatan terletak di mana.
“Jadi selepas mengadakan perbincangan semalam, kita telah mengambil keputusan untuk mengaktifkan semula pendaftaran atas talian yang akan memudahkan orang ramai mendaftar sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE