Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta semua penjawat awam supaya 'ikat perut' buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mengatasi masalah hutang negara yang dicipta oleh kerajaan BN terdahulu.
Dr Mahathir berkata demikian sewaktu berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di Serdang, hari ini.
“Tuan-tuan, saya harap kita boleh bersabar. Hari ini pun telah kita berjaya kurangkan hutang. Tapi untuk hapuskan hutang sebanyak RM1 trillion, hutang sebegini banyak bukanlah mudah.
“Seluruh anggota kerajaan perlu ikat perut sedikit supaya kita boleh bayar hutang. Lepas hutang langsai, barulah kita boleh belanja,” katanya.
Dr Mahathir mengulangi bahawa kerajaan BN sebelum ini berhutang sebegitu banyak sehingga menyukarkan keadaan kewangan negara hari ini.
“Sebab itu kita terpaksa batalkan banyak rancangan yang dijadual oleh kerajaan lama. Kita harus kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan besar ini.
“Namun kalau hentikan kita kena bayar pampasan. Sebab itu layanan kita pada pembangunan negara berkurangan,” katanya.
Dr Mahathir berkata beliau yakin anggota Cuepacs dapat bersabar dan bekerjasama dalam memulihkan keadaan ekonomi negara.
“Walaupun kita bermasalah, tak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat.
“Di Asia Barat, negara mereka termusnah dan satu bilion daripada rakyat mereka akan mati kelaparan,” katanya sambil menambah bahawa beliau yakin bahawa ekonomi negara dapat diperbaiki dalam masa tiga tahun lagi.
Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir yakin masalah pentadbiran serta kewangan negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu akan dapat dipulihkan dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyusun pelbagai perancangan yang diyakini boleh mengatasi kedua-dua isu tersebut, justeru penjawat awam harus bersabar serta bekerjasama dengan kerajaan semasa untuk memulihkan semula keadaan negara.
"Insya-Allah, kalau keadaan dalam negara ini aman, tidak ada tindakan yang liar, kita yakin dalam masa tiga tahun kita akan dapat pulihkan semula negara," katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersama Perdana Menteri, di Serdang hari ini.
Perdana Menteri berkata bagaimanapun usaha memulihkan negara tidak boleh dilakukan melalui kuasa politik semata-mata sebaliknya turut menuntut kerjasama sektor awam bagi membantu PH yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
"Amat penting untuk tuan-tuan dan puan-puan faham sejarah kita dan tahu apa sedang dilakukan oleh negara yang baharu ini oleh pemerintah baharu ini, supaya dapat menghulurkan kerjasama yang erat kepada kerajaan demi kepentingan negara, supaya negara kita akan sekali lagi berada di jalan ke arah negara maju pada 2025," katanya.
Dr Mahathir berkata kerjasama yang diperlukan daripada penjawat awam termasuk memahami masalah yang dihadapi negara khususnya berhubung bebanan hutang melebihi RM1 trilion yang meletakkan kewangan negara dalam keadaan sukar.
"Sebab itu kita terpaksa batal rancangan-rancangan yang besar yang telah dilakukan, dijadualkan dan dilaksanakan oleh kerajaan lama. Kita harus kurangkan perbelanjaan untuk projek-projek yang besar ini namun demikian kalau kita hentikan kontrak yang lama kita juga perlu membayar pampasan," katanya.
"Saya harap kita boleh bersabar, kalau kita bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram maka kita dapat pulihkan kewangan negara kita dan pembangunan negara kita.
"Untuk menghapuskan hutang RM1 trilion bukanlah mudah, seluruh rakyat termasuk anggota kerajaan perlu ikat perut sedikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan membayar hutang,” katanya.
Dr Mahathir juga berkata pendapatan yang tinggi tidak akan bermakna jika harga barangan meningkat melebihi kenaikan gaji.
"Bagi kita yang lebih utama ialah memberi gaji yang boleh membeli lebih (banyak) daripada dahulu.... sebab itu kerajaan sekarang sedang mengolah cara-cara kewangan negara," katanya.
Perdana Menteri berkata beliau yakin penjawat awam akan bersama-sama kerajaan membantu memulihkan negara khususnya dari segi kewangan.
"Kita percaya untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kuasa beli kita perlu meningkatkan kecekapan dan disiplin dalam kalangan anggota kerajaan pemerintahan sekarang ini," katanya.
0 Comments