RAKYAT Malaysia yang menjadi mangsa insiden tembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat minggu lalu, Mohd Nazril Hisham Omar, 46, menerima kunjungan daripada pemain ragbi New Zealand Sonny Bill Williams yang turut terkesan dengan tragedi keganasan itu.
Bintang All Blacks yang beragama Islam itu ditemani rakan pemain ragbi, Ofa Tu'ungafasi dan pemain Richmond Tigers, Bachar Houli kelmarin selepas menghadiri majlis memperingati kematian mangsa di dua masjid Christchurch, lapor Daily Mail.
Mohd Nazril Hisham berkata, kejadian berlaku ketika dia ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.
Katanya, ketika itu juga dia dapat melihat mangsa rebah satu persatu sebelum ternampak kelibat pengganas terbabit.
Ketika menceritakan kejadian itu kepada Stuff, Mohd Nazril Hisham memberitahu dia cuba berlari namun ditembak pada bahagian kaki dan belakang.
Selain itu, Williams sempat meluangkan masa dengan beberapa mangsa lain yang terselamat termasuk seorang bapa tunggal, Ahmad Feroz serta Ziyaad Shah, 47.
Ziyaad yang berasal dari Bandar Grassy, Afrika Selatan, berhijrah ke New Zealand 12 tahun lalu bersama isteri, Shamilah serta tiga anaknya, Zakkiyyah, Salaamah dan Aadilah.
Dia dikatakan salah seorang daripada mangsa yang terperangkap dalam masjid terbabit ketika tembakan rambang dilepaskan.
Akibat serangan itu, dia terkena tembakan di bahagian belakang dan kaki.
Sebelum ini, Williams memuat naik videonya yang tidak dapat menahan kesedihan sejurus berita serangan ganas itu tersebar sebelum melawat Christchurch sebagai tanda sokongan.
0 Comments