Recents in Beach

header ads

Fintexh ISLAM perlu diperluas

Malaysia diiktiraf sebagai peneraju dalam kewangan Islam yang merekodkan 26 peratus daripada aset kewangan patuh syariah di dunia pada akhir 2017, berjumlah RM2.05 bilion. Malah, beberapa kajian juga menunjukkan Asia adalah pasaran terbesar bagi sukuk dan dana Islam. Namun, apabila berkait dengan fintech Islam, ia masih samar-samar walaupun secara dasarnya ia bergerak sama seperti perbankan biasa yang mematuhi prinsip patuh syariah.
Negara-negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula dilihat berlumba-berlumba untuk memperluaskan sektor kewangan Islam dipacu ledakan fintech. Misalnya, Bahrain menggesa institusi kewangan di rantau ini untuk memberi peluang kepada teknologi fintech Islam dengan
menyasarkan institusi kewangan bukan bank. Dalam pada itu, sebuah perbadanan Islam yang berpangkalan di Arab Saudi menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat fintech untuk membangunkan pelbagai penyelesaian blockchain untuk bank-bank Islam.

Mengapa keadaan ini berlaku dan apakah usaha yang boleh kita laksanakan?
Fintech merupakan sebuah ekonomi di mana seluruh kegiatan kewangan dalam ekonomi dilakukan menggunakan tek­nologi. Ia adalah ‘alat pencetus’ untuk mempercepat serta mempermudah urusan kewangan, tidak kira kewangan Islam atau konvensional.
Walaupun aplikasi fintech di Malaysia masih rendah dalam sistem kewangan jika diban­dingkan dengan negara maju, namun prestasi kewangan Islam kita masih unggul dengan perkembangan menakjubkan.
Kini, usaha ke arah fintech sedang rancak dilaksanakan oleh pelbagai pihak sama ada pemain-pemain industri dan disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Saya pasti, jika fintech dapat dimanfaatkan secara penuh, kewangan Islam kita akan le­bih berprestasi terutama dalam transaksi antarabangsa.
Secara dasarnya, adakah kita mempunyai kesedaran terhadap perkembangan fintech ini?
Kesedaran itu ada tetapi tidak cukup. Jadi, pentingnya ke­sedaran fintech dalam sistem kewangan diteruskan. Penjelasan secara tulisan, perbincangan di forum-forum mesti diperhebatkan. Para coders dan programmers dalam bidang teknologi maklumat perlu dite­rap dengan ilmu asas kewangan Islam supaya mereka faham bagaimana mereka dapat programkan sistem teknologi terkini dengan lebih berkesan.
Adakah sektor perbankan Islam akan mengalami perubahan apabila garis panduan aset digital dikuatkuasakan?
Peraturan yang disediakan ini bertujuan supaya aset digital tertakluk kepada undang-undang sekuriti untuk memastikan dagangan yang adil dan teratur dilaksana serta perlin­dungan kepada para pelabur.
Menurut kenyataan bersama antara BNM dan Suruhanjaya Sekuriti pada Disember 2018, mana-mana penerbit atau platfom yang terbabit dalam penerbitan atau urusan jual beli aset digital melibatkan fungsi pembayaran, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan BNM yang berkaitan dengan urusan pembayaran dan mata wang. Di samping itu, mereka juga tertakluk kepada Garis Panduan mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan Suruhanjaya Sekuriti.
Walaupun perubahan akan berlaku apabila peraturan ini dikuatkuasakan, saya menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam menilai risiko berkaitan ketika berurusan dalam aset digital ini.
Apakah kekangan yang menyebabkan mata wang digital dan blockchain tidak dapat berkembang di negara ini?
Ini kerana kita tidak mempunyai status yang jelas tentang penerimaan mata wang digital dan blockchain ini dari aspek syariah sekalipun ramai yang memandangnya sebagai be­risiko tinggi. Selain itu, perubahan suasana perniagaan dengan penggunaan mata wang digital dan blockchain masih belum dapat diterima oleh para pengguna kerana kurang ya­kin terhadap aspek digitalisasi.
Bersediakah modal insan dalam perbankan islam menghadapi gelombang baharu ini?
Modal insan kita kini ramai dalam golongan era milenial yang berjiwa digital. Mereka berminat perkara berkaitan fintech ini. Apa yang perlu ada ialah jambatan untuk hubungkan mereka dengan ilmu berkaitan kewangan Islam.
Malaysia mempunyai kekuatan ilmu praktikal kewangan Islam. Modal insan dari Malaysia yang berkelayakan dalam kewangan Islam adalah antara individu-individu yang berjaya memegang jawatan penting di institusi kewangan Islam luar negara.
Malah, dengan adanya ramai modal insan berbakat dalam kewangan Islam, Malaysia juga telah dijadikan ‘kilang’ yang dapat mengeluarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada institusi-institusi kewangan negara-negara jiran.
Cabaran kita adalah bagaimana dapat manfaatkan kekuatan modal insan ini dengan pengaplikasian fintech demi untuk mengharumkan nama Malaysia dalam usaha penyebaran kewangan Islam ke seluruh pelosok dunia.

Razli Ramli
Penasihat Kewangan ISLAM

Post a Comment

0 Comments